Ibu Negeri Pahang
Kuantan ialah daerah dan ibu negeri Pahang, Malaysia.
Penduduk Kuantan terdiri daripada 50% orang Melayu, 37% orang Cina, 10%
orang India dan
1% kaum-kaum lain. Kuantan terletak berhampiran Sungai
Kuantan mengadap ke Laut China Selatan. Pusat pentadbiran negeri
Pahang telah berpindah ke Kuantan dari Kuala
Lipis sejak dari tahun 1976.
Kuantan adalah sebuah bandar besar di Pantai Timur
Semenanjung Malaysia, di kedudukan 3° 50' Utara, 103° 20' Timur (ini adalah
lokasi sebelum kejadian gempa bumi dan tsunami 26 Disember 2004, yang dikatakan
telah menganjakkan Semenanjung Malaysia beberapa sentimeter dari kedudukan
asal). Ia merupakan ibu negeri Pahang, di dalam negara Malaysia. Jumlah
penduduk di daerah Kuantan adalah sekitar 607,778 orang.
Berkedudukan di pesisir Laut China Selatan dan di tebing Sungai
Kuantan berdekatan kualanya, Kuantan yang masyhur dengan pantai-pantainya
dan Masjid Sultan Ahmad Shah sebagai ikon di
tengah-tengah bandar adalah pintu masuk ke Pantai Timur bagi mereka yang datang
dari arah Kuala Lumpur dan selatan
Semenanjung.
Pada abad ke-19, pendatang dari Sumatera (Indonesia)
dipercayai telah membuka penempatan di tebing Sungai Kuantan, khususnya di
sekitar Teruntum yang terletak berdekatan Hospital Tengku Ampuan Afzan pada hari
ini. Terdapat beberapa teori mengenai asal nama "Kuantan". Ada yang
mengatakan nama tersebut mempunyai kaitan dengan tempat asal pendatang dari
Sumatera itu, yakni Kampung Kuantan. Terdapat juga satu tempat bernama Kuala
Kuantan di negeri Selangor. Ada pula yang mengatakan nama bandar ada hubungan
dengan bangsa China, kerana bunyinya yang sedemikian rupa.