Ibu Negeri Perlis

Ibu Negeri Perlis

Kangar merupakan ibu negeri Perlis, Malaysia serta bandar utara negara. Ia mempunyai jumlah penduduk seramai 48,898 orang (2004). Kangar terletak di titik paling utara di Semenanjung Malaysia, barat laut Alor Setar, berhampiran dengan sempadan negara Thailand dan terdapat di sepanjang Sungai Perlis. Kawasan pusat bandar di Kangar ialah Mukim Sena, yang menerima nama julukan sebagai "Uptown Sena". Ahli parlimen Kangar ialah Y.B. Shaharuddin Ismail, daripada parti UMNO.[1]
Bandar Kangar juga terletak di antara bandar Alor Setar dan Padang Besar, bandar sempadan Malaysia dan Thailand. Hari-hari persekolahan dan pentadbiran kerajaan Kangar, Perlis mengikut negeri Pulau Pinang dan Perak iaitu setiap hari Isnin hingga Jumaat bukan mengikut Kedah dan Johor yang beroperasi lain dan istimewa iaitu pada setiap Ahad hingga Khamis. Hospital Tuanku Fauziah (HTF) juga terletak di bandar ini.
Kereta api ETS juga melalui kawasan Kangar dan Arau di utara Malaysia dan banyak membantu masyarakat Kangar dan Arau. Perjalanan ke Alor Setar, Pulau Pinang dan Padang Besar ataupun Haadyai dari Arau mengambil masa lebih kurang 1 jam melalui kereta api berkelajuan pantas dengan kelajuan 140-180km/j. Dengan 4 jam 30 minit juga, kereta api laju ini mampu tiba di Kuala Lumpur, Selangor, dan Seremban iaitu bandar dan negeri terakhir lintasan kereta api laju Malaysia ini
Kangar merupakan pusat pentadbiran negeri Perlis dan berperanan sebagai pusat perdagangan utama. Kangar terletak di dalam 5 mukim iaitu Sena, Kechor, Wang Bintong, Seriab dan Utan Aji. Kangar merupakan kawasan yang paling padat dengan pembangunan di Perlis.
Kangar dibuka oleh Tok Peduka. Kewujudan Bandar Kangar semenjak 350 tahun dahulu iaitu dalam tahun 1653 adalah apabila Kota Sena yang dibina sebagai pusat pemerintahan pada awalnya diduduki oleh Sultan Kedah ke-14 iaitu Sultan Muhyiddin Mansor Shah. Kangar suatu ketika dahulu merupakan sebuah pelabuhan darat (Pangkalan) di mana perahu dan tongkang berlabuh. Hal ini adalah kerana terdapat sebatang sungai yang mengalir melalui Bandar Kangar terus ke Kuala Perlis iaitu Sungai Perlis.
Bertempat di pangkalan inilah para pedagang berjual-beli di bawah sebatang pohon tinggi yang merendang di kawasan itu. Pohon yang menjadi teduhan dan saksi kepada urus niaga inilah yang bernama “Pohon Kangar”. Setiap pedagang atau saudagar yang berulang-alik ke tempat tersebut menggelarkan kawasan tersebut sebagai “Pelabuhan Pohon Kangar” bersempena nama pokok tersebut.
Selain daripada itu, terdapat juga beberapa andaian lain yang mengatakan bahawa asal-usul nama Bandar Kangar ini diambil daripada bunyi sejenis burung iaitu burung helang “kangor”. Pada masa awal kewujudan Bandar Kangar, terdapat banyak burung helang kangor berterbangan di kawasan ini.
Namun begitu, menjelang abad ke-20 fungsi “Pelabuhan Pohon Kangar” ini kian berkurangan bilamana corak pengangkutan dan lalu-lintas kian berubah. Pengangkutan air telah berubah kepada pengangkutan darat yang mana banyak jalan raya mula dibina. Pengangkutan utama yang dahulunya merupakan perahu dan tongkang telah bertukar kepada kereta dan lori. Seterusnya pula, “Pelabuhan Pohon Kangar” ini berubah kepada pusat perniagaan dan pentadbiran di negeri Perlis. Kini, nama pangkalan telah luput daripada sebutan penduduk dan yang tinggal hanyalah nama Kangar atau Pekan Kangar sahaja.