Tempat Bersejarah di Negeri Johor
Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang
yang terletak di Kampung Makam ialah tempat yang paling terkenal di Kota
Tinggi, Johor,
Malaysia.
Makam tersebut banyak menyimpan sejarah Kesultanan
Johor dan lain-lain kisah dalam sejarah Melayu masa kini.
Sultan Mahmud Shah II keturunan sultan
Melaka ditabalkan menjadi sultan ketika berumur 10 tahun. Urusan
pentadbiran dijalankan oleh Bendahara. Pusat pemerintahan berada di Kota
Tinggi dan Johor Lama dijadikan istana hinggap. Di sinilah Temenggung
menjaga Kota Johor Lama. Sultan Mahmud Shah II dikaitkan dengan kezaliman dan
menimbulkan pergolakan dalam negeri. Pada tahun 1697, Bendahara Seri Maharaja Tun Habib Abdul Majid meninggal dunia dan
disebut "Marhum Padang Saujana". Pada 1699, Sultan Mahmud Shah II
mangkat pada usia 24 tahun, dipercayai ditikam oleh Laksamana Bentan dan
disebut sebagai "Marhum Mangkat Di Julang" atau "Marhum Kota
Tinggi".
Mengikut kitab hikayat Tuhfat
al-Nafis, cerita ini berlaku apabila Laksamana Bentan (dikenali Bintan
pada hari ini), iaitu Megat Seri Rama, telah berperang
untuk menumpaskan lanun di perairan Johor atas perintah Sultan Mahmud Shah II.
Pada suatu hari, isteri Megat Seri Rama
yang sedang mengandung, Dang Anum telah bertemu dengan penghulu kebun Sultan
yang sedang membawa nangka untuk dipersembahkan kepada Sultan. Dang Anum
kemudian telah meminta seulas nangka kerana dia mengidam. Penghulu kemudiannya
memotong seulas lalu diberikan kepada Dang Anum. Ketika Sultan Mahmud Shah
hendak bersantap tengah hari, baginda menyedari bahawa nangka yang hendak
disantapnya telah diusik orang. Sultan Mahmud amat murka kerana dihidangkan dengan
sisa orang dan memerintahkan Dang Anum ditangkap dan dibelah perutnya
menyebabkan kematian isteri Laksamana.
Beberapa hari kemudian, Laksamana telah
kembali ke Kota Tinggi dengan membawa kejayaan cemerlang bagi angkatan tentera
Johor. Selepas sultan memberi anugerah kepada Laksamana, Megat pun balik ke
rumahnya dan mendapat khabar buruk daripada Tun Aman yang mengatakan bahawa
isterinya telah mati. Laksamana berasa marah, kecewa dan menangis apabila
mengetahui isterinya telah mati. Megat Seri Rama kemudiannya berazam untuk
membalas dendam kepada sultan kerana bagindalah yang memerintahkan supaya
isteri kesayangannya dibunuh.
Pada suatu hari Jumaat, Sultan Mahmud
Shah bersama pembesar telah berangkat ke masjid untuk
bersembahyang. Sultan telah ditandu oleh pengawal-pengawal istana. Ketika azan
pertama berkumandang di udara, Sultan Mahmud terkejut melihat Laksamana berdiri
sambil menghalang lalu lintas baginda. Laksamana berkata "Raja adil raja
disembah! Raja zalim raja disanggah!". Sepantas kilat, laksamana terus
menikam Sultan dengan kasarnya. Suasana di perkarangan masjid gempar apabila
darah sultan yang berdaulat telah mengalir ke tanah! Semua jemaah terpaku.
Sultan tidak berputus asa lalu menyentap sebilah keris yang tersisip
di pinggangnya lalu dilontarkan di kaki laksamana. Sultan terus bertitah "Tujuh
keturunan laksamana tidak boleh menjejakkan kaki ke Kota Tinggi...." Beberapa
minit kemudian, baginda menghembuskan nafas yang terakhir. Megat yang tiba-tiba
memuntahkan darah pula mati secara tiba-tiba.