Jata Negeri Johor

Jata Negeri Johor

 

Susun atur dan reka bentuk jata negeri Johor Darul Ta'zim dipengaruhi oleh gaya jata Barat, yang mengandungi perisai di tengah, ketopong di atasnya, diapit oleh dua penyokong beserta pangsa dan cogan kata di bahagian bawah
Ketopong (merujuk kepada mahkota) melambangkan kedaulatan di mana ia merujuk kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan yang memerintah negeri Johor. Bulan sabit dan bintang berbucu lima menghiasi mahkota itu dan ia diwarnai dengan warna kuning dan biru.
Perisai jata ini terdiri daripada garis rangka "Inggeris" berwarna putih dan di setiap sudut terdapat empat bintang kecil serta satu bintang besar dan bulan di tengah perisai. Kelima-lima bintang tersebut berbucu lima dan berwarna kuning (termasuk warna bulan). Bintang-bintang kecil membawa maksud empat jajahan besar yang asal bagi Johor iaitu Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Endau.
Bulan sabit dan bintang besar pula sebagai tanda agama Islam sebagai agama rasmi negeri.
Penyokong yang memegang perisai pada jata menampilkan dua ekor harimau garang. Simbol ini mengingatkan kepada binatang buas yang pada suatu masa dahulu merayau-rayau di dalam negeri ini.
Pangsa berwarna kuning yang berada di bahagian bawah perisai dan penyokong menggambarkan kepada tanaman gambir dan lada hitam iaitu dua jenis hasil pertanian utama bagi negeri ini.