Ibu Negeri Terengganu
Kuala Terengganu (Sebutan bahasa Malaysia: [ˈkuˈala ˈtəˈrengˈganu];
Jawi:
کوالا ترڠݢانو); tulisan Cina ringkas: 瓜拉丁加奴, pinyin:
guālādīngjiānú; kebiasaannya diringkaskan kepada KT) ialah ibu negeri, bandar
diraja, dan pusat ekonomi utama negeri Terengganu
Darul Iman. Kuala Terengganu terletak sekitar 450 kilometer dari timur laut
Kuala
Lumpur, di Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Bandaraya ini terletak
di muara Sungai Terengganu, berhadapan dengan Laut China Selatan.
Sebagai sebuah daerah, Kuala Terengganu merupakan yang
terkecil dari segi keluasan, tetapi (sekiranya kawasan daerah Kuala Nerus yang
terletak bawah bidang kuasa Majlis Bandaraya Kuala Terengganu diambilkira) ia
mepunyai jumlah penduduk terbanyak di negeri ini iaitu 343,284 orang pada 2010.[1][2]
Status bandar raya deberikan kepada Kuala Terengganu dengan gelaran Bandaraya
Warisan Pesisir Air pada 1 Januari 2008. Walaupun Kuala Terengganu tidak
terkecuali daripada pemodenan dan pembangunan, ia masih mengekalkan ciri-ciri
kemelayuan yang masih utuh sambil digabungkan bersama-sama warisan dan budaya
lain disebabkan sejarah panjangnya sebagai pelabuhan
Di pesisir Kuala Terengganu, terdapat sederet rumah kedai
yang dikenali sebagai Kampung Cina (China Town)
yang telah wujud semenjak sekian lama. Ia merupakan perkampungan pedagang Cina
yang berdagang antara China dan Semenanjung Tanah Melayu yang bermula semenjak
awal abad ke 15
Kewujudan Kampung Cina adalah bukti wujudnya hubungan
perdagangan erat antara kerajaan China dan Kerajaan Terengganu. Pelayar
terkenal, Abdullah Munsyi yang singgah ke Kuala Terengganu pada abad ke-19
mencatatkan, kaum Cina pada zaman tersebut berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa
Melayu Terengganu.
Kuala Terengganu adalah satu bandar raya perdagangan maritim
yang penting pada zaman purba. Rekod awal menyatakan Kuala Terengganu pernah
memiliki hubungan perdagangan antarabangsa dengan China. Rekod
menyatakan Kuala Terengganu adalah antara kota persinggahan utusan kerajaan
Ming China, Laksamana Zheng He diantara tahun 1405 dan 1433.
Kuala Terengganu berkembang menjadi bandar perdagangan yang
penting antara kedua negara. Bagaimanapun, selepas Empayar Melaka menakluk bandar ini,
pengaruhnya sebagai pelabuhan terutama di kawasan Asia Tenggara merosot kerana
kebanyakan pedagang lebih gemar berhenti di Melaka, yang merupakan pusat
perdagangan antara China, India dan Asia Tenggara.
Kuala Terengganu dipercayai telah dihuni semenjak beribu
ribu tahun lagi. Catatan cendekiawan China seperti ’Ling-wai-Tai-ta’ karangan
Cao-Cu-Fei tahun 1178, menyebut ’Teng-ya-nu’ dan buku ’Cu-fan-Cih’ karangan
Cao-Ju-Kua tahun 1226 menyebut Teng-ya-nung’. Kedua dua nama tersebut merujuk
kepada nama Tengganu yang dikatakan jajahan takluk Kerajaan Seri Wijaya
(San-fo-Cih) pada kurun ke-2.
Selain itu, ahli atronomi terkenal Greek, Ptolemy ada
mencatatkan kewujudan dua buah pelabuhan di Pantai Timur Semenanjung Tanah
Melayu. Pelabuhan itu ialah Primoula dan Kole. Primoula dipercayai di Kuala
Terengganu dan Kole di Kemaman. Catatan lain menunjukkan wujudnya kota Foloan,
di Kuala Berang, di hulu Sungai Terengganu. yang dipercayai menjadi kota
satelit pada Kuala Terengganu.
Catatan penulis China pada masa Dinasti Sui ada juga
menyebut tentang sebuah Negeri yang dinamai ’Tan-Tan’ yang menghantar Ufti ke
China. Paul Wheatley membuat kesimpulan negeri yang dimaksudkan di dalam
catatan China itu mungkin berpusat di Kuala Besut atau Kuala Terengganu. Catatan
tersebut juga menyebut bahawa Kuala Terengganu dan Kuala Berang merupakan pusat
perdagangan maritim utama pada abad kedua belas. Sungai Terengganu merupakan
laluan utama dan penting bagi pedagang-pedagang asing pada zaman itu.
Perdagangan barangan seperti kayu gaharu, kayu laka, gading bermutu tinggi di
jadikan pertukaran dengan emas dan perak.
Bukti lain kewujudan sebuah kerajaan purba di Terengganu,
ialah seketul batu granit berbentuk empat segi yang berukir tulisan dengan
ukuran 84 cm tinggi, 53 cm lebar bahagian atas dan 27cm lebar di bahagian bawah
dan berat batu tersebut 215 kg yang dikenali sebagai Batu Bersurat. Batu tersebut bertulisan
Jawi dan menggunakan Bahasa Melayu Kuno. Penemuan itu juga telah menjadi bahan
sejarah yang tidak ternilai dan merupakan satu-satunya bukti yang menunjukkan
kemasukan agama Islam ke Tanah Melayu pada abad keempat belas lagi. Sejarah
Terengganu moden bermula apabila Tun Zainal Abidin dari keturunan diRaja Johor
ditabalkan memerintah Terengganu pada 1708. Baginda memakai gelaran Sultan
Zainal Abidin 1.
Sebagai ibu negeri Terengganu, bandaraya ini berperanan
penting dalam politik dan ekonomi seluruh negeri. Kuala Terengganu merupakan
pusat bagi pelbagai agensi, jabatan dan badan kerajaan negeri dan persekutuan,
antaranya seperti Jabatan Imigresen dan Kastam, Unit Perancang Ekonomi Negeri,
pejabat besar Pos Malaysia, Perpustakaan Negeri Terengganu, dan
lain-lain. Memandangkan bandaraya ini merupakan pusat pentadbiran negeri, Wisma
Darul Iman, bangunan sekretariat negeri menempatkan Dewan Undangan Negeri
Terengganu dan Pejabat Menteri Besar. Istana-istana Sultan Terengganu seperti
Istana Badariah dan Istana Maziah turut berada di bandaraya ini kerana Kuala
Terengganu juga merupakan bandar diraja.
Majlis Perbandaran Kuala Terengganu diwujudkan pada
18hb Januari 1979 dengan keluasan 18,712 hektar persegi meliputi 21 mukim,
termasuk mukim Bandar Kuala Terengganu. Pada 1 Januari 1985, Mukim Bukit
Payong dan Alor Limbat telah dikeluarkan daripada Majlis
Perbandaran dan dimasukkan di bawah pentadbiran Majlis Daerah Marang. Dengan perubahan ini,
kawasan baru Majlis Perbandaran telah berubah kepada 16,806 hektar persegi.
Pada 16 Disember 1996, kawasan pentadbiran Majlis
Perbandaran Kuala Terengganu telah diwarta perluasan meliputi seluruh daerah
Kuala Terengganu sebagai kawasan kawalan dengan keluasan 60,528 hektar persegi
termasuk sebuah pulau peranginan terkenal iaitu Pulau
Redang dan bilangan mukim bertambah menjadi 23 mukim.